Im not in use of this blog anymore
Please tune to my recent site

However :
All Posts © http://coldhikari-v2.blogspot.com/
~~~Alias~~~
Kumako-Chan [] IceHikari [] EmptyKuma [] deCropper


♪♫•1st CampingExp With KadetPolis•♫♪


(Malay Version)
For 16++ Only
Proceed At Your Own Risks.

 Perkhemahan Tahunan

KOR Kadet Polis
( PPD / IPD )
SMK Chabang Empat, 16210 Tumpat, Kelantan
2006

εїз Sekolah-sekolah yang terlibat :

☺ SMK Wakaf Bharu (Platun Lelaki)
☺ SMK Mahmud Mahyiddin (Platun Lelaki)
☺ SMK Genting (Platun Lelaki)
☺ SMKU(A) Mehilliyah Genting (Platun Lelaki)
☺ SMK Tumpat (Platun Lelaki)
☺ SMK Sungai Pinang (Platun Lelaki & Wanita)
☺ SMK Kampung Laut (Platun Lelaki & Wanita)
☺ SMK Chabang Empat (Platun Lelaki & Wanita)
☺ SMK Berangan (Platun Wanita)

εїз Tarikh : 29 Mei (Isnin) hingga 2 Jun 2006 (Jumaat) 2006
εїз Selama : 5 hari 4 malam
εїз Tempat : Chiku 2, Gua Musang, Kelantan Darul Naim
εїз Jadual perjalanan dan aktiviti-aktiviti sepanjang perkhemahan bagi sekolah ‘aku’ (SMKCE) yang menggunakan tiga trak polis ( satu trak kadet perempuan dan barang, satu trak lelaki dan barang dan satu trak lagi untuk gabungan kadet lelaki 16 orang dan kadet perempuan 17 orang ) untuk perjalanan ke destinasi :


♫ Aktiviti hari pertama :

☺ Kami berkumpul di hadapan tempat letak kereta Pengetua pada pukul 7.00 pagi. Wajah-wajah riang, ‘excited’ dan tidak sabar-sabar boleh dilihat pada setiap daripada kami. Ada juga yang kelihatan kusam. Mungkin tak sanggup nak tinggalkan rumah dan mungkin ada yang tidak cukup tidur kerana digemparkan dengan My Team Final semalam. (Hmmm, ‘maybe’la kot.........)

☺ Kami tiba awal di sekolah kerana Cikgu menjangkakan trak polis yang akan membawa kami ke destinasi akan tiba pada pukul 7.30 pagi. Sambil menunggu ada yang menggunakan kesempatan ini untuk membeli-belah di kedai-kedai runcit berdekatan yang dibuka awal. Ish.... Mungkin bagi orang awam menyangkakan ada ‘pemeriksaan polis dihadapan’ kerana kami semua memakai uniform kadet polis lengkap (GD) dalam proses ulang-alik melintas jalan raya di hadapan sekolah kesayangan kami.

☺ Ada yang membeli air meneral laa... Ada yang beli snek laa... Dan ada juga yang membeli gula-gula. Macam nak pergi ‘picnic’ la pulak kan? Mungkin makanan-makanan ini dibeli untuk dimakan diatas trak nanti.... Sebabnya perjalanan kami nanti bukannya sebentar, ataupun pejam celik pejam celik, dh sampai. Mungkin akan mengambil masa paling kurang pun 3 jam setengah.

☺ Trak tiba pada pukul 7.50 pagi. Air muka kami jika yang layu letih menunggu......, bertukar menjadi “ahhhh, tak sabarnyaa......!”

☺ Sebelum bertolak, ada sepatah dua kata yang akan diberikan oleh guru penasihat Kadet Polis Lelaki Encik Adnan Mahmud dan PK. Ko. SMKCE pada pukul 8.10 pagi. Sementara mendengar ucapan dalam barisan, 5 orang ahli kadet bertungkus-lumus mengangkat beg-beg baju yang membawa ‘batu-batu besar dari gunung’ ke dalam trak (‘al-maklumlah’ dh ‘stay kt sana 5 hari 4 malam...).

☺ Kami bertolak ke destinasi perhentian pertama iaitu Sek. Men. Keb. Mahmud Mahyiddin pada pukul 8.45 pagi.

☺ Tiba di perhentian pertama pada pukul 9.30 pagi. Disini kami dan sekolah-sekolah yang terlibat telah berkumpul dan berkenalan buat kali pertama. Kami juga dikehendaki melaporkan diri sebelum bertolak ke perhentian kedua. Semua ini bagi memastikan semua sekolah yang terlibat telah menghadirkan diri.

☺ Disini kami juga sempat merehat-rehatkan diri dan membeli-belah di ‘Seven Eleven’. Disinilah juga duit perkhemahan yang kami bawa dirasmikan.

☺ Seterusnya kami bertolak ke perhentian kedua iaitu Stesen Minyak ESSO pada pukul 10.30 pagi selepas mendengar taklimat ringkas daripada pihak urus setia yang akan menguruskan kami sepanjang kami berada dalam perkhemahan nanti.

☺ Kami tiba di stesen minyak ESSO itu lebih kurang pada pukul 12.45 tengah hari. Disini kami boleh menggunakan kemudahan yang disediakan seperti tandas dan kami juga boleh membeli makanan-makanan ringan untuk dimakan diatas trak polis sepanjang perjalanan ke destinasi yang ditujui.

☺ Sepanjang perjalanan, berbagai-bagai perkara yang kami lakukan di atas trak yang sedang bergerak laju. Kadang-kadang kami masuk jugaklah ke stadium ‘racing trak’ yang berlaku diantara trak-trak kadet-kadet. Kesian pak cik yang memandu. Mungkin ada yang kena ugut kot..... Yelah hajat hati ahli kadet nak sampai duhululah katakan....

☺ Kami tiba di FELDA Chiku 2, Gua Musang, Kelantan pada pukul 3.30 petang.

☺ Setiba kami di destinasi, kami mendaftarkan diri dan mengambil nombor tapak perkhemahan. Alhamdulillah kami mendapat tapak yang berhadapan dengan khemah urus setia. Dekat dengan tempat ambil air dan mandi iaitu tapak perkhemahan no. 4. Kami kemudiannya menurunkan barang-barang dari trak-trak yang mengiringi kami untuk selamat tiba di destinasi. Mungkin dari segi yang tak teknikalnya kami adalah platun kadet yang agak awal.

☺ Kami kemudiannya memakai pakaian ‘half GD’ untuk membersih tapak perkhemahan secara gotong-royong dan membina 4 buah khemah ( 2 khemah empat segi, 1 khemah bulat saiz besar, dan 1 khemah bulat saiz kecil.). Kami menghadapi kesukaran untuk membuat kerja-kerja yang sepatutnya kami siapkan dlm masa sejam kerana tapak perkhemahan kami yang dipenuhi lumpur akibat dari hujan yang menimpa kawasan ini kebelakangan ini. Ish....ish....ish.... kesian kepada tanah ni kan...? Tapi itu menunjukkan rahmat Allah S.W.T. yang tak henti-henti kepada hamba-hambanya yang lemah ini.

☺ Hampir setengah hari kami bertungkus-lumus membuat kerja. Kepayahan dan kesukaran perkhemahan sudahpun kami alami walaupun tak sampai sehari berada di sini.

☺ Pada malamnya, ceramah ringkas disampaikan oleh Encik Jamil selaku penyelaras perkhemahan bagi kali ini pada pukul 9.00 malam. Apa yang kami takutkan sepanjang berdiri mendengar ceramah ialah... Hmmm, PACAT!!! Diorang ni spesis yang selalu aje nak ‘dinner’ kat betis kami. Ceramah yang disampaikan tidak dapat diteruskan seperti yang sepatutnya disebabkan hujan lebat yangmula turun pada pukul 9.30 malam. Lumpur di tapak perkhemahan ini semakin teruk. Semua orang termasuk guru-guru pengiring sekolah kami (Pn. Hazmini dan Encik Adnan) panik tetapi cuba menabahkan diri. Beberapa ahli kadet mula lemah semangat dan selalu sahaja merungut seraya menyebut “ Ahhhhh, nak balik!!!!!” dan “ Menyesal aku datang. Kalau tahu macam ni tak datang pun takpe,” bermacam-macam gelagat mula dapat dilihat mulai saat ini. Pada saat inilah, kite boleh menilai yang mana satu ahli kadet yang setia dan dengan ikhlas meminati Perkhemahan Kor Kadet Polis yang sememangnya mencabar mental dan fizikal kami ini ataupun sebaliknya....

☺ Tambahan pula, khemah-khemah yang didirikan mula dimasuki air hujan sedikit demi sedikit. Dapur gas yang tidak dapat dipasang begitu juga dengan lampu pendaflour ( yang baru sahaja dibeli En. Adnan ) yang masih lagi tidak dapat disambung dan dinyalakan, amat meresahkan serta menyusahkan kami. Disebabkan itu, hanya kawasan perkhemahan kami sahaja yang berada dalam kegelapan tanpa lampu dan kami semua dalam kelaparan dan kepenatan.

☺ Beberapa ahli kadet polis lelaki datang membantu memperbaiki dapur gas, lampu pendaflour dan membina tempat perlindungan dapur sambil diawasi oleh SM ( Sarjan Mejar) Encik Fadhirullah. Kebanyakkan ahli kadet tidak dapat meneruskan mimpi-mimpi indah disebabkan hujan, pacat, lintah dan musuh ketat kakak2 senior, katak, ( hihihi... jangan marah ekkk ). Walaubagaimanapun , semasa pukul 1.00pagi hampir menjelang, Puan Hazmini menegaskan kami supaya tidur kerana kami akan berdepan dengan pertandingan kawat kaki antara platun-platun kadet sekolah-sekolah menengah pada keesokkan hari. Kami telah berlatih dengan bersungguh-sungguh hampir tiga bulan demi pertandingan ini. Jadi, kami tidak boleh kalah ataupun dikecewakan hanya kerana beberapa halangan dan dugaan. Tapi tak semua daripada kami yang tidur. Contohnya Sarjan Aminah yang setia mengawasi kawasan perkhemahan kami, Sentree yang ditugaskan mengawasi tapak dan beberapa kadet lelaki yang setia membina tempat perlindungan dapur. Dalam pukul 3.00 pagi, Encik Jamil dan Tuan Zainal sendiri turun padang datang melawat ke tapak perkhemahan kami untuk melihat keadaan lumpur yang dikatakan teruk. Selepas tinjauan, dia akui keadaan di tapak perkhemahan kamilah yang paling teruk dilanda ‘banjir lumpur’
( haaa... kan dah kata.... ).

♫ Pada hari kedua:

☺ Lebih kurang dalam pukul 6.00 pagi, kebanyakkan ahli kadet telah dan mula bangun. Air mandian dan air untuk kegunaan kami yang disediakan pula telah kehabisan untuk digunakan. Hanya beberapa ahli kadet sahaja yang sempat menyegarkan diri. Jadi yang lain hanya dapat menggunakan air mineral-air mineral yang berbaki untuk membasuh muka dan menggosok gigi (jadi nampaknya tak mandilah kami hari ini.........).

☺ Pada pukul 8.50 pagi kami dibawa ke Sek. Keb. Sri Chiku 2 untuk Pertandingan Kawat Kaki peringkat Daerah Tumpat. Tapak perkhemahan kami yang teruk berlumpur menyebabkan baju-baju seragam kadet kami (GD) habis bertompok-tompok lumpur kering iabarat lembu Switzerland. Beberapa ahli kadet ditinggalkan di tapak perkhemahan sebagai sentree. (Kesian mereka tidak dapat menyaksikan kawan-kawan yang lain berjuang demi kawat.........)

☺ Nombor giliran kami ialah 12. Jadi kami terpaksa menunggu 11 platun mempamerkan hasil latihan kawat kaki mereka sebelum tiba giliran kami untuk beraksi.

☺ Kebosanan terlerai apabila 19 orang ahli kadet mempersembahkan perbarisan kawat yang sempurna dan berhak dipuji. Kepuasan terpampang di wajah setiap ahli kadet buat seketika.

☺ Setiba di tapak perkhemahan, dua orang ahli kadet ( Sarjan/K Raja Aminah & Koperal/K Siti Rossemadira ) dihantar semula ke Sekolah Kebangsaan Sri Chiku 2 untuk pertandingan kawat kaki individu pula.

☺ Bagi ahli yang lain, mereka bekerjasama dengan beberapa ahli kadet lelaki bagi mengubah kedudukan 4 buah khemah kerana ‘kelembikan’ lumpur yang sudah tidak terkawal. Kami bagaikan terpaksa membina khemah buat kali kedua dan sudah tentu tindakan yang diambil kami ini adalah ibarat membina khemah satu kali lebih daripada ahli kadet daripada sekolah lain... sesungguhnya hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa penatnya aktiviti ini dan sememangnya ianya menggugat jadual aktiviti dan iman serta kesabaran (dan, hmmm..., ada lagi... ) bagi platun kami.

☺ Belum sempat khemah kami didirikan dengan sempurna, satu bunyi letupan ( stand to ) seolah-olah ada negara lain datang mengebom kawasan kami kedengaran. Mungkin kerana ini, ahli-ahli kadet yang mengidap penyakit sakit jantung, lemah jantung atau yang bersaudara dengannya tidak dibenarkan dan diharamkan sama sekali untuk menyertai perkhemahan ini. Bunyi ini memerlukan semua ahli kadet meniarap secara pantas walaupun diatas lumpur, mengadap ke bahagian sekeliling pagar tapak perkhemahan. Bagi beberapa ahli kadet yang baru, keadaan agak tergopoh-gapah dan mendebarkan. Rasanya seolah-olah kami menjadi tawanan perang dan sememangnya kami terpinga-pinga. Tidak tahu hendak buat apa, atau nak kemana ataupun mengapa orang lain membodohkan diri mereka sendiri dengan meniarap di atas lumpur dan mengotorkan baju mereka... ‘Every single things become a question to us’. Bagi beberapa ahli kadet baru yang pergi ke tandas pula, keadaan lebih mencemaskan dan menyeramkan. Ada diantara kami yang meremang bulu romanya. Tapi dengan panduan daripada kakak-kakak kadet senior, kami cuba tenangkan diri dan ‘be cool’.

☺ Walaupun dapur khemah belum lagi dapat kami sediakan dengan sempurna tetapi perut kami semua sudah mula berkeroncong dan bermuzik-muzik ibarat sedang mengadakan konsert ‘rock’. Kak Ayu, Kak Piah dan beberapa ahli kadet yang lain cuba memasak telur dan apa-apa sahaja makanan yang dijumpai mereka untuk kami mengisi perut.

☺ Belum sempat kami menyentuh makanan, Encik Jamil memanggil kami semua menggunakan pembesar suara untuk berkumpul bagi satu sesi ceramah atau taklimat yang lebih kepada satu motivasi untuk kami supaya lebih bersemangat menghadapi segala halangan dan dugaan yang tidak diduga kehadirannya. Tetapi kebanyakkan daripada kami hanya mendengarnya bak mencurah air ke daun keladi kerana kami semua telah keletihan dan mengantuk lalu tertidur ayam.

☺ Lebih kurang 20 minit kemudian, satu jeritan datang dari arah tapak perkhemahan kami. Suara itu bagaikan suara yang kami kenali. Kalau tidak tersilap pada pendengaran kami, suara jeritan itu adalah suara kak Koperal kadet Siti Rossemadira. Tak sampai satu minit, kelihatan SM SMKCE, Encik Fadhirullah memapah dua orang lagi kakak senior menuju ke arah khemah urus setia melintasi kami. Menyusur selepas mereka dua orang Sub Inspektor (SI) yang memapah Kak Siti. Mereka kelihatan menangis. Para pegawai melarang kami mendekati mereka, melihat kearah mata mereka ataupun mendekati khemah urus setia dan tapak perkhemahan kami.

☺ Kami menjadi risau dan bertambah risau. Segala rasa mengantuk dan letih kami hilang dengan serta-merta dan tiba-tiba. Manalah dapat kami menahan perasaan risau yang menguasai diri kami dari segi rohani dan fizikal sedangkan keempat-empat mereka adalah ahli kadet kami yang sepatutnya menjadi sentree (kadet yang menjaga khemah sewaktu aktiviti-aktiviti dijalankan.) pada waktu itu. Pada masa itu, apa yang bermain difikiran kami hanyalah, “Ya Allah S.W.T. apakah yang telah terjadi kepada mereka?”

☺ Dengan serta-merta ceramah dihentikan dan semua ahli kadet diberi arahan supaya balik semula ke tapak khemah masing-masing kecuali kami dan kadet-kadet dari Sek. Men. Keb. Kampung Laut, jiran kami. Tapak perkhemahan mereka hanya berada bersebelahan dengan tapak perkhemahan kami.

☺ Kami membawa hamparan dan membentangkannya disebelah khemah urussetia. Lalu kami duduk bersila mengelilingi Sarjan kami yang setia memberi dorongan dan semangat kepada kami. Kami mula berzikir dengan kuatnya serta membaca ayat-ayat suci al-Quran. Langit yang sebentar tadi mula menggelap kini cerah menglihatkan kelipan bintang-bintang yang menyinari ruang mata kami. Keadaan ini memang jarang dijumpai di kawasan bandar. Bintang yang bertaburan itu sememangnya banyak sekali. Tetapi hanya dua atau tiga orang yang menyedarinya ( tapi mungkin juga hanya aku seorang...). Kelihatan kakak-kakak senior mula lemah semangat dan menitiskan air mata. Pada pendapat aku mungkin mereka mengeluh dengan apa yang menimpa ahli-ahli kadet sekolah kami. Sememangnya semua itu terlalu berat untuk remaja sebaya kami tetapi kami tetap tabah dengan segala cabaran dan dugaan yang diberikan kepada kami. Pada mulanya halangan lumpur yang amat berat, kemudian kehabisan air, lampu pendaflour yang tak berguna dan sekarang ini perkara sebegini pula yang menimpa kami. Namun kami tahu setiap yang terjadi ada hikmah disebaliknya dan kami juga tahu bahawasanya ini adalah cabaran dan dugaan yang diberikan oleh Allah S.W.T. untuk menguji keimanan kami. Aku yakin semua yang terjadi, ada hikmah disebaliknya...

☺ Zikir kami terus bergema dan bergema bersilih ganti dengan suara Sarjan Aminah yang menjeritkan kata-kata yang membina semangat, untuk kami terus bertahan seperti “ Saya tak nak tengok ada orang yang menangis, kalau tak, saya tampar....” , “Berhenti menangis! Jangan laa buat macam tu, nanti kena benda –benda,” dan “ Mari kita baca sama –sama ....” (itulah antara beberapa ayat yang aku boleh ingat.)

☺ Benda yang seolah-olah penyakit berjangkit ini mula merebak dari seorang ke seorang yang lain. Dari sentree kami kepada Koperal kadet kami Kak Nurul Huda, Konstabel kadet kami, Nurul Fatihah, seorang konstabel kadet dari SMKKL dan beberapa ahli kadet lelaki daripada sekolah kami.

☺ Kak Z adalah orang yang keempat yang ‘terkena’ (yang juga sentree sekolah kami) adalah yang paling teruk. Matanya yang merah kerana keletihan membulat dan terbeliak melihat orang-orang disekelilingnya. Ada Sarjan Aminah menegurnya tetapi dia menengking semula Kak Sarjan dengan suara yang agak keras dan bahasa yang agak ‘cantik’. Ada kalanya dia kelihatan seperti hendak bergaduh dengan ahli kadet yang lain.

☺ Pihak urus setia mula mengambil tindakan pantas dengan menyediakan trak untuk memindahkan kami ke Sekolah Kebangsaan Sri Chiku 2. Kami dibenarkan untuk kembali ke khemah dalam kadar yang segera dengan ditemani beberapa orang pegawai-pegawai unruk mengambil beg-beg pakaian kami. ( inilah waktunya ketika ‘benda’ itu terkena pada Koperal Kak Nurul Huda dan Konstabel Nurul Fatihah.)

☺ Pegawai yang mengetahui serba-sedikit tentang perkara ini mula membaca beberapa ayat dan menyemburkannya kepada sentree kami dan yang lain-lainnya sebelum tok bomoh kampung dijemput. Kami bersama Kak Ida dan Kak Siti meninggalkan Kak Z dan Kak Khairulnisa menaiki trak menuju ke SKSC 2. Zikir yang dibaca kami didalam trak bergema-gema di sepanjang jalan kampung yang dilalui trak kami.

☺ Setiba di SKSC 2 , kami semua menarik nafas lega walaupun masih dalam keadaan yang risau dan agak panik. Ada diantara kami mengambil kesempatan ini untuk mandi dan menyegarkan diri mereka yang tidak berapa segar akibat daripada kehabisan air sepanjang hari ini. Ada pula yang menunggu hari esok untuk berbuat demikian kerana bilik persalinan yang disediakan oleh pihak sekolah untuk mandi dan menyalin pakaian ‘sesak dan padat’ dengan ahli-ahli kadet perkhemahan..

☺ Aku amat kagum dengan sekolah ini kerana kemudahan yang disediakan disini lengkap dan kawasannya juga bersih, kemas seta cantik. Walaubagaimanapun, jejak kasut kami yang berlumpur ‘menambahkan keserian’ lantai sekolah ini. (jangan marah eeekkkhhh...)

☺ Setelah ketibaan kami, menyusur pula ahli-ahli kadet dari sekolah-sekolah lain. Trak yang mengangkut ahli-ahli kadet selepas kami tiba lebih kurang setengah jam kemudian bersama salah seorang daripada sentree kami Kak Khairulnisa. Kami amat gembira. Walaupun Kak Khairulnisa yang pertama-tama ‘terkena’ tetapi dia yang pertama berjaya menyedarkan diri. Ketibaannya bagaikan jam loceng yang berbunyi kuat di tepi telinga dan telah menyedarkan Kak Siti dan Fatihah Aziz dari dunianya. Sejurus kemudian tiba pula Kak Nurul Huda dengan tawa riangnya yang menghiburkan hati kami. Koperal Junihafizah menyuapkan makanan yang diberikan oleh pihak urus setia secara percuma kepada kami untuk mengisi perut kepada Kak Siti dan Kak Nurul Huda.

☺ Mereka mula bercerita tentang apa yang menimpa mereka. Walaupun kejadian itu berlaku tidak sampai sejam, tetapi cerita yang diberitahu oleh mereka bagaikan kejadian itu telah terjadi selama sebulan... Tapi, aku tetap gembira dapat mendengar suara riang mereka bercerita. Dalam cerita itu, mereka ada menyatakan yang bahawasanya mereka sedar apa yang orang lain sedang buat disekeliling mereka, cuma, mereka tidak dapat bertindak balas seperti apa yang diingini mereka. Seolah-olah sesuatu sedang mengawal fikiran mereka. Mereka ingat yang mereka ditampar oleh beberapa pegawai yang ingin cuba menyelamatkan mereka tetapi walaupun bunyi tamparan yang dihasilkan kuat, kesakitan tidak terlalu terasa dipipi mereka. Kadang-kala mendengar cerita mereka membuat kami ketawa, tersenyum dan ada juga yang membuatkan kami terfikir kenapa perkara begini menimpa mereka. Adakah kerana Allah S.W.T ingin menguji ketabahan hati mereka dan kami atau ia adalah petunjuk daripadaNya kepada kami supaya jangan melupakanNya walau kami berada dalam apa keadaan sekalipun.

☺ Mereka juga ada bercerita tentang puteri bunian yang cantik paras rupanya sedang duduk bersimpuh didalam salah satu daripada khemah kami (khemah kecil yang didiami Konstable Effa, Shazuanis, Fatihah dan Zayani ), seorang orang tua bersama seorang kanak-kanak yang comel dan sesuatu diatas pokok. Semua ini membuat kami bertambah berdebar-debar untuk kembali semula ke tapak perkhemahan( jika diarahkan oleh pihak urus setia ).

☺ Cerita mereka tidak tamat begitu sahaja. Seolah-olah kejadian yang berlaku hanya dalam 5 minit telah berlarutan terjadi selama 3 tahun. Walaubagaimanapun mereka akan berhenti apabila mereka terasa letih atau mengantuk. Kebanyakkan daripada kami tidak menunggu mereka menamatkan cerita yang amat menarik perhatian kami pada malam itu, apa yang mereka teringin sangat nak buat ialah terus memreka dan membuai mimpi. Pada pendapat aku, mungkin mereka keletihan dengan pelbagai perkara yang berlaku hari ini. Contohnya pertandingan kawat, memindahkan khemah , usaha untuk mengisi perut yang tak kesampaian untuk djamah dan kejadian yang aku gelarkan ‘kejadian malam kedua’.

♫ Pada hari Ketiga :

☺ Hari ini kami bangun dalam pukul 6.00 pagi. Ramai ahli-ahli kadet yang mengambil air sembahyang untuk menunaikan solah fardhu Subuh dan membaca beberapa ayat untuk menguatkan semangat dan berdoa semoga Allah S.W.T. melindungi kami daripada sebarang malapetaka. Mungkin kejadian malam kedua masih terngiang-ngiang di fikiran mereka seolah-olah burung-burung yang berterbangan.

☺ Sejurus selepas selesai solat, Platun Sarjan mengambil platun masing-masing dan membuat satu sesi senam pagi. Mungkin mereka ingin membuat kami lupa tentang kejadian semalam. Andai kata mereka diberi kuasa, mungkin mereka teringin membuang ingatan kami tentang kejadian semalam kan?

☺ Macam-macam gelagat boleh dilihat dalam sesi senam pagi ini. Ada yang terlompat-lompat, ada yang menari-nari, ada yang hanya kawat ringan, ada yang sekadar “1, 2, 1, 2” dan macam-macam lagi lah.....

☺ Kami melepak di SKSC 2 ini hingga pukul 11.30 pagi. Pada waktu ini kami telah kekenyangan sesuku perut . Pihak urus setia yang prihatin telah membelikan kami makanan. Walaupun tidak mencukupi tapi Alhamdullillah. Sekurang-kurangnya kami sudahpun mendapat sumber tenaga untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang disediakan untuk hari ini.

☺ Lebih kurang dalam pukul 11.30 pagi kami bertolak ke tapak perkhemahan semula meninggalkan ahli-ahli kadet yang sakit di SKSC 2. Bila kami tiba di sana, apa yang kami dapat lihat ialah kesemua barang-barang kami yang sepatutnya berada di atas bukit telah diturunkan. Sejurus sampai, Sarjan memberi arahan kepada kami supaya meminta maaf daripada ‘penghuni’ yang telah kami kacau tempat mereka.

☺ Sesungguhnya di dalam laporan ini aku memohon seribu kemaafan kepada ‘mereka’. Dan sesungguhnya kami tidak tahu dan kami masih mentah. Walaupun aku tidak pasti sama ada ini tindakan yang betul atau tidak, tetapi pada masa itu aku hanya menurut arahan dan keadaan.

☺ Kami mula berkemas-kemas. Kami mula membina dapur semula, membina khemah semula, mengasingkan barang-barang kepunyaan siapa dan memasak. Kami takkan berputus asa. Ini adalah kali ketiga kami membina dan merancang khemah. Bak kata orang bijak pandai, kalau dah jatuh, bangunlah semula. Setengah daripada kami pulang semula ke SKSC 2 untuk mengambil beg-beg baju kami semua dan ahli-ahli kadet yang sakit ke tapak perkhemahan semula. Mungkin malam ini kami akan bermalam didalam khemah masing-masing.

☺ Ohhhhh, sesungguhnya antara ketiga-tiga tempat yang kami pernah pindahkan khemah , tempat yang ketiga inilah yang paling baik dan sempurna. Ia lebih dekat dengan sumber air (walaupun takde air) dan tanahnya tak terlalu berlumpur. Sementara kami yang tinggal di khemah ini memasak lauk, nasi dan air, ada beberapa ahli kadet lelaki sekolah kami datang untuk membantu mendirikan khemah, dapur dan meja sentree. Mereka juga menunggu untuk merasa lauk dan air yang bakal kami siapkan. Tahu-tahu jelah....

☺ Satu jam kemudian sepatutnya ahli-ahli kadet yang balik semula ke SKSC 2 telah sampai semula ke tapak perkhemahan tetapi lebih kurang dua jam kemudian baharulah mereka tiba. Apabila ditanya kenapa lewat, mereka berkata ada masalah dengan ahli-ahli kadet yang sakit. Semasa dalam perjalanan balik semula ke tapak perkhemahan buat kali pertama tadi mereka menangis, menjerit dan meraung. Mungkin mereka masih fobia dengan kejadian malam kedua. Jadi trak terpaksa berpatah balik ke SKSC 2 untuk menhantar ahli-ahli kadet yang sakit itu semula baharulah bertolak ke tapak untuk kali yang kedua. Ada diantara kami yang mengeluh dengan apa yang telah terjadi. Dan ada juga yang merungut mengatakan yang kami terpaksa bertungkus-lumus disini sedangkan mereka ( ahli-ahli kadet yang sakit) sedang besenang-lenang disana. Tetapi apa yang boleh kami buat? Dan apa yang boleh ahli-ahli kadet yang sakit itu pula buat? Secara zahirnya, mereka tidak bersalah. Sesungguhnya itu semua pun bukannya kehendak mereka ataupun kami.

☺ Puan Hazmini memberi kami campuran beras, kunyit debu dan lada sulah untuk diikatkan pada kain tudung masing-masing. Semasa hendak meletakkannya kami perlu membaca selawat berbanyak-banyak. Ini semua untuk menjaga diri kami dan menghindarkan diri kami daripada sebarang gangguan. Walaubagaimanapun, Insya’Allah..... Walaupun benda ini tidak memberi hasil yang sepatutnya, tetapi pada pendapat aku dengan benda ini diikat pada kain tudung kami, keadaan mungkin berbeza. Mungkin ianya boleh menguatkan semangat kami semua dan memotivasikan kami untuk terus berada disini.

☺ Beberapa minit setelah ketibaan trak pemunggah barang, kami berjaya menghasilkan satu lauk untuk dimakan. Iaitu Maggi dan nasi. Maggi yang dimasak itu kami anggapkannya sebagai lauk. Apa-apa yang boleh ditelan kami makan je walaupun tak pernah dibuat orang.

☺ Lebih kurang 10 minit setelah makan , 10 orang daripada ahli kadet kami telahpun pergi berkumpul untuk pertandingan ronda pandu arah (RPA) dengan menggunakan kompas. Mula-mula mereka diajar cara untuk menggunakan kompas. Sesudah itu baharulah mereka menjalankan misi pertandingan. Sementara mereka pergi berusaha menaikkan nama sekolah yang lain cuba untuk memasak lauk untuk dimakan malam ini serta memunggah air sebanyak yang boleh untuk kegunaan penting seperti mengambil air sembahyang, memasak, dan membasuh. Dalam keadaan yang berlumpur semalam kami terpaksa membasuh kesemua alatan memasak yang terkucar-kacir.

☺ Semasa dalam keadaan kami yang tergesa-gesa, Pak Din (tok bomoh kampung) datang untuk meminta beg pakaian Kak Z. Tetapi walau sesusah mana kami cuba, kami tidak dapat mencarinya. Walaupun ya kami terlihat, tetapi kami tidak dapat nak memastikan yang mana satu adalah beg kepunyaan Kak Z. Jadi, pulanglah Pak Din dengan tangan kosong. Maafkan kami........

☺ 45 minit kemudian ahli kadet RPA kami pulang semula ke tapak perkhemahan. Alahai... Basah kuyup mereka. Mereka kata dalam masa pertandingan tadi, mereka ada kena penalti. Ianya adalah kejadian yang berkait-rapat dengan kesabaran. Setelah kepulangan mereka 10 orang daripada ahli kadet kami perlu bersiap sedia untuk pertandingan rentas halangan pula. Yang inilah kebanyakkan daripada kami nak sangat hindari. Tapi ada pula yang bayangkan ia adalah sesuatu yang amat menyeronokkan. Ada pula yang... alahai...... redha kerana kumpulan.

☺ Sebelum kadet perempuan , kadet lelaki memulakan majlis. Dari jauh macam-macam gelagat boleh dilihat. Ada yang sengaja mandi lumpur laa, yang lari bagai nak jatuh sebabkan licin kaki berlumpur laa dan.... hishhhh pelik-pelik. Tapi yang paling menyeronokkan adalah bergambar setelah berlumpur dan mandi disungai yang nyaman dan bersih airnya untuk menghilangkan segala jenis lumpur pada pakaian dan badan. Tu pun tak lama hanya lebih kurang empat hingga lima minit je. Pihak urus setia takkan membiarkan kami hidup aman selagi kami disini. Sebab ini adalah perkhemahan kor Kadet Polis...

☺ Setelah selesai rentas halangan, kami semua mula mengankut air lagi, sembahyang Asar dan mengemas khemah masing-masing.

☺ Dalam keadaan yang kelam-kabut ada beberapa ahli kadet yang mula pening kepala dan ada juga yang sakit perut. Hish..... runsing kami dibuatnya. Sarjan Aminah memberi mereka berbagai-bagai jenis ‘warning’ supaya jangan lemah semangat. Tetapi ada yang menitiskan air mata. Setelah diberi ubat ‘panadol’ semuanya akhirnya kembali normal. Ahli-ahli kadet ini pun dibenarkan berehat didalam khemah sambil ditemani oleh beberapa ahli kadet yang lain yang tak henti-henti membaca ‘Yasin’ dan zikir-zikir yang sepatutnya disekeliling mereka.

☺ Hari menjelang senja dan seterusnya Maghrib. Kami menghamparkan hamparan tikar untuk sembahyang Maghrib beramai-ramai. Mulanya hajat kami hendak berjemaah tapi bila difikirkan balik mungkin susah sedikit nak mencari yang sesuai antara kami untuk dijadikan imam. Jadi kami mengambil keputusan untuk sembahyang sendiri disebabkan kebanyakkan daripada kami nak jamakkan solah Maghrib dan solah Isyak.

☺ Hari kelihatan gelap daripada biasa. Pada andaian kami mungkin hari dah nak hujan. Beberapa minit setelah kebanyakkan daripada kami selesai solah, awan mula menurunkan air matanya. Sarjan mengarahkan kami semua supaya masuk berlindung didalam khemah masing-masing. Kami semua menurut arahan sambil berzikir dengan kuatnya melawan kebisingan hujan.

☺ Lebih kurang sepuluh minit kemudian , pihak urus setia melaungkan dengan pembesar suara yang disediakan supaya ahli kadet perempuan SMKCE (kami) berlindung di khemah utama pegawai perempuan sambil menunggu ketibaan trak untuk membawa kami balik semula ke SKSC 2. Kami berulang-alik dengan memegang beg baju masing-masing kerana nak menunggu kepastian. Ke khemah urus setia, ke khemah kami, ke khemah urus setia, ke khemah kami.... Ahhhh! Penat! Ada diantara kami yang memegang lauk untuk dibawa kepada ahli-ahli kadet yang sakit di SKSC 2.

☺ Lebih kurang 15 minit kemudian, kami terlihat sinaran cahaya lampu trak dari celah-celah pokok-pokok kelapa sawit. Kami semua pun terus meluru keluar daripada khemah utama pegawai perempuan. Dalam perjalanan diatas trak, kami berzikir sekuat-kuat yang boleh. Apabila tiba di destinasi yang ditujui, kelihatan hujan mula reda dan bakal bersambung semula pada bila-bila masa.

☺ Setiba aje kami, dapat dilihat ahli-ahli kadet yang sakit sedang duduk berbual menunggu kepulangan kami. Mungkin ada mereka berpesan kepada salah seorang daripada kami untuk mencari beg pakaian mereka tetapi sebagaimana kes Pak Din yang datang mencari beg pakaian Kak Z, kami dah cuba yang terbaik......

☺ Selesai aje kami mandi, kami menjamu makanan yang kami masak di tapak perkhemahan tadi dan solah. Apabila jam menunjukkan lebih kurang pukul 11.00 malam mata kami mula terasa seolah-olah ada bebuli bandul di atas kelopak mata kami. Berat je rasanya.... jadi kami mula menyiapkan tempat untuk tidur. Sebelum tidur, kami terlihat kelibat trak polis tiba di tapak perhimpunan sekolah ini. Kami tertanya-tanya apa yang dibawa trak itu....

☺ Persoalan-persoalan kami terjawab apabila terlihat kadet-kadet lelaki turun daripada trak. Kami mendapat berita daripada sumber-sumber yang mungkin dapat dipercaya yang bahawasanya kejadian malam kedua semakin menular. Jadi pada malam ini ahli-ahli kadet lelaki perkhemahan ini akan diangkut juga ke sekolah rendah ini dan akan bermalam didalam dewan yang bertentangan dengan dewan kami. Ada diantara mereka yang datang di kawasan kami meminta makanan. Wajah kesian dan kelaparan mereka amat menyedihkan..... he...he....he....

☺ Pada malam itu tidur kami agak nyenyak.]

♫ Pada Hari Keempat :

☺ Pagi ni, daripada berpuluh-puluh ahli kadet (termasuk daripada sekolah-sekolah lain, ) aku adalah kadet yang awal sekali terjaga... mulanya hanya mengelipkan mata sahaja tetapi apabila kedengaran azan Subuh yang dilaungkan oleh salah seorang pegawai aku bingkas bangun dan duduk termenung. Aku lihat semua orang masih terbaring bagaikan sedang berjemur. Macam-macam gaya boleh dilihat. Ada yang kepala di kaki, kaki di kepala dan macam-macam lagilah. Tapi biasalah tuu bila kita tidur di tempat awam kan....setelah selesai azan aku tahu yang mereka-mereka semua ini takkan bangun sebab terlalu letih dengan pelbagai perkara yang berlaku kelmarin, jadi aku cuba mengejutkan mereka. Ahli kadet pertama yang aku cuba kejutkan ialah Azlina dan Syamimi kemudian Shazuanis dan Nurul Aini. Kemudiannya Zayani dan kakaknya. Sewaktu sibuk aku mengejutkan mereka-mereka ini, kelihatan beberapa ahli-ahli kadet yang lain sedang bangun, mula menggosok-gosokkan mata dan membuka mata perlahan-lahan seolah-olah tak percaya hari dah pagi. Kami bergegas ke bilik persalinan kerana tidak mahu berebut dengan ahli kadet yang lain.

☺ Selesai mandi, kami mengambil wuduk dan mula menunaikan solah Subuh. Selesai solah, kami seperti biasa diiringi dengan suara platun Sarjan memanggil anak-anak buah mereka untuk sesi senam pagi. Lebih kurang setengah jam kami berhempas-pulas memutuskan otot-otot lenguh, kelihatan ketibaan ‘yang amat berhormat’ bungkusan-bungkusan nasi yang menyelerakan dan yang kami tunggu-tunggu sejak dari kami bangun membuka mata lagi. Kelihatan air teh hangat yang terasa seolah-olah mengejutkan perut kami yang mula memutus akibat daripda pelbagai jenis senaman yang pelik-pelik. (acah je...tiada kadet yang dihantar ke klinik atau hospital akibat perut putus... ehh... kejap.... adake.. hah?.......)

☺ Selesai kami ‘menghentam’ nasi bungkus kesayangan kami, kami berehat buat seketika. Lebih kurang jam 9.30 pagi, kami semua diangkut ke tapak perkhemahan semula oleh trak-trak polis yang amat menyayangi kami. Tiba di tapak perkhemahan, kami dikehendaki memasak apa sahaja makanan yang berbaki dan yang ada untuk makan tengah hari. Pada waktu yang sebegini, Puan Hazmini mengarahkan ahli-ahli kadet lelaki membawa makanan mereka ke tapak perkhemahan kami untuk dimasak sekali. Disebabkan hari ini adalah hari keempat dan esok kami akan bertolak pulang, jadi kami perlulah menghabiskan segala jenis makanan yang masih ada. Antaranya telur....kami merebus kesemua telur yang bilangannya mencecah angka seratus untuk dibuat lauk. Lauk yang disediakan oleh chef-chef kami yang tidak diiktiraf telah mengambil masa lebih kurang 3 hingga 4 jam untuk sempurna. Maklum jelah, dapur yang ada cuma 4 tapi digunakan untuk memasak nasi, memasak air minuman, memasak maggi, merebus lebih seratus biji telur dan digunakan untuk memasak kuah yang akan dicampurkan dengan telur rebus ‘special’ kami.

☺ Makan tengah hari yang disediakan agak lazat.( tahu tahu jelah bila perut mula menyanyi tak kira apa jenis penonton yang tak lazat pun bila dimasukkan kedalam terowong mulut kami tetap akan terasa ‘ummpphhh marvelous’.......)selesai makan, kami rehat, membasuh, membersihkan tapak perkhemahan dan membuat pelbagai kerja lagi yang daanggap perlu. Bak kata pepatah aku, kalau dalam perkhemahan jangan bawa bersama musuh pelajar no. 1....... tahu apa? Malas laaa..... Krisis air yang kami alami pula hanya dapat disembuhkan buat sementara waktu sebelum ianya menular kembali.

☺ Lebih kurang pukul 2.30 petang, ahli-ahli kadet yang menyertai pertandingan jalan lasak dipanggil berkumpul dihadapan khemah urus setia. Fuhhh, berdebar-debar laa rasanya. Relaks... titik penamatnya dekat aje....

☺ Sebelum memulakan larian, kami pelajar SMKCE membuat sorakkan semangat kami yang agak unik dan sedikit senaman merenggangkan otot. Yelah mana tahu sekerat jalan nanti, tiba-tiba kaki ‘kren’.... jadi kenalah buat persediaan. Ada juga yang menyapu minyak panas dilengan dan dibetis. Katanya untuk mengeluarkan peluh lebih banyak dan nak menghangatkan badan jadi bolehlah mempercepatkan lagi larian.

☺ Lebih kurang pukul tiga petang, larian dimulakan. Aku dan Shazuanis membuat pakatan agar tidak berpecah supaya nanti jika terjadi apa-apa bolehlah kami saling membantu. Sesuku larian dimulakan, Konstabel kadet Nurul Aini berlari kearah kami untuk ‘join’ kami sekali sehingga ke garisan penamat. Pada setengah masa pertama larian, kami agak ketinggalan tetapi bila energy kami masih lagi ‘maintain’ tetapi energy ahli-ahli lain mula ‘down’ kami cuba sedaya upaya untuk melintas mereka seorang demi seorang. Sewaktu kami sibuk memberi nasihat yang bernas antara satu sama lain, antaranya ( “Ok, Ok... sikit lagi-sikit lagi...”, “Air si.....rap...., air....sirap....”, “Nasi....nasi....” dan macam-macam lagila) kami terlintas Kak Sarjan Aminah dan beberapa lagi ahli kadet yang lain. Mereka terus memberikan kata-kata semangat kepada kami supaya mempercepatkan lagi larian kami. Sewaktu masa sesuku terakhir larian kami terserempak dengan Konstabel kadet Kak Farah Ain dan Konstabel kadet Nurul Atikah, lalu kami berlari ke garisan penamat bersama-sama mereka.

☺ Lebih kurang lima hingga tujuh meter daripada garisan penamat, kedengaran sorakan-sorakan yang amat kuat dan menggegarkan. Ini semua menguatkan lagi semangat kami. Langkah kami menjadi seluas-luasnya dan sepantas-pantasnya. Walaupun dalam keadaan kaki yang kebas, semua itu bagaikan tidak lagi terasa.

☺ Setiap aktiviti tentu ada pengalaman yang pahit dan yang manis yang tidak dapat kami lupakan. Antaranya Shazuanis mula memulas perut (nk, ehem...ehem...), aku mula ‘low energy’ dan terasa hendak berehat serta berjalan manakala Nurul Aini pula mula kebas kaki di pertengahan larian. Tetapi dengan kata-kata semangat yang pelik-pelik yang disampaikan kepada dan sesama kami, kami berjaya menamatkan larian tanpa berputus asa. ( tentulah aku cuma tahu masalah tiga orang je sebab kami lari bersama. Bagi yang lain, aku minta maaf sebab tak sempat nak siasat dan meng‘interview’...)

☺ Sementara kami cuba menamatkan larian, ahli-ahli kadet yang tidak menyertai larian mencuba sedaya-upaya mereka untuk mengemas dan membersihkan tapak perkhemahan dalam keadaan yang sebersih-bersihnya. Semua ini adalah untuk penilaian yang akan dilakukan oleh salah seorang pegawai pihak urus setia yang ditugaskan untuk pemarkahan keseluruhan (kecantikkan khemah) . Antara komennya yang aku tahu ialah, tapak perkhemahan kitaorang adalah diantara tapak perkhemahan yang paling bersih dan teratur. Alhamdullillah syukur..... .( dan satu lagi kerja ahli-ahli kadet yang tidak menyertai larian ni ialah menyediakan air minuman untuk pelari-pelari kebanggaan. ) (He....he....he.....)

☺ Kami pelari-pelari jalan lasak SMKCE dengan bangganya berjaya menamatkan larian lebih kurang pukul 5.30 petang. Bayangkan tiga jam setengah kami berlari tanpa henti sejauh lebih LIMA KILOMETER (5 km).... Yeah........... pada majlis perasmian penutup nanti kami akan dinobatkan sebagai pemernang kedua.(okaylah tuuu....) Dan lebih membanggakan kami lagi dua orang daripada ahli kadet perempuan platun kami berjaya mencatat nama untuk pertandingan jalan lasak peringkat negeri (kalau tak silap). Iaitu ..... Koperal kadet Kak Junihafizah dan Konstabel kadet Noor Amirah.

☺ Tapi di sebalik keriangan dan kegembiraan, tetap ada yang merisaukan. Beberapa ahli kadet daripada pelari kami mengalami kren, kebas kaki dan macam-macam lagi. Fuhhhh.... nasib baik takde kaki yang ‘broke’....

☺ Sebelum bertolak pulang ke SKSC 2, kami menunggu trak tiba dengan penuh sabar dan diiringi dengan bacaan zikir-zikir yang memuji Tuhan yang Maha Esa dan ada juga kedengaran keluhan-keluhan yang mungkin disebabkan keletihan yang teramat sangat.

☺ Trak tiba dan membawa kami dan beberapa perajurit platun yang kebas kakinya kembali selamat ke SKSC 2 lebih kurang dalam pukul 7.35 malam. Menunggu ketibaan kami bersama makanan yang kami masak tengahhari tadi untuk dimakan untuk malam ini ialah ahli-ahli kadet yang sakit yang sekali lagi telah memesan kepada kami pagi tadi supaya mencari beg-beg pakaian mereka. Tetapi kekecewaan yang kami dapat. Beg-beg itu masih lagi dalam pencarian.

☺ Seperti mana malam ketiga kami mandi, solah Maghrib dan solah Isyak, makan, lepak dan tidur dengan secukupnya untuk mengumpul energy yang bakal digunakan untuk hari esok...............

♫ Pada Hari Kelima :

☺ Hari ini hari ‘last’ kami disini. Pagi ni kami semua bangun agak lewat, sepertimana kelmarin, kami mandi, solah Subuh dan membuat senam pagi. Hari ini entah mengapa ‘mood’ semua ahli kadet kelihatan muram dan tidak berapa nak bermaya. Aku tidak tahu apa yang difikirkan oleh ahli kadet yang lain tapi bagi aku jika kita berhadapan dengan seseorang yang sedang melayan perasaan munyuknya, janganlah kita men’join’nya dan membuat air wajah kita menjadi sama dengan air wajahnya. Cuba buat selamba tapi jangan sampai menyakitkan hati seseorang pulak. Jadi walaupun aku tertanya-tanya apa yang sedang terjadi, selamba tetap menjadi pilihan hati aku.

☺ Selama lebih kurang 20 minit bersenam menyegarkan minda dan fizikal, Sarjan Aminah mengarahkan kami supaya duduk dan berehat. Sarjan kemudiannya pergi ke satu sudut dimana terdapat sebuah kerusi batu ditepi padang agak jauh daripada tempat kami sedang berkumpul. Kemudian tiba-tiba seorang daripada ahli kadet mengatakan bahawasanya Sarjan Aminah yang kami amat kagumi telah menitiskan air matanya buat pertama kalinya selama kami berada didalam perkhemahan ini.

☺ Ada khabar-khabar angin yang mengatakan bahawasanya, Sarjan menitiskan air matanya kerana telah dituduh sebagai seorang ~!@#$%^&* oleh ~!@#$%^&* (biarlah rahsia ok?....) hanya kerana tidak dapat mencari barangan iaitu @#$%^& yang telah dipesan kepada sesetengah ahli kadet. Bagi aku, kalaulah aku berada di tempat Kak Sarjan Aminah sudah tentu aku belasah teruk orang-orang yang berkenaan. Keadaan antara dan sesama ahli kadet didalam platun aku sekarang ini amat TEGANG!!!. Tetapi seperti mana yang aku tulis diatas, selamba tetap menjadi pilihan hati aku.

☺ Beberapa ahli kadet memberanikan diri memhampiri Sarjan Aminah serta cuba memujuknya agar menabahkan hati dan banyak-banyakkanlah bersabar. SM dan beberapa ahli kadet lelaki juga cuba membuat perkara yang sama. Aku sememangnya tidak mahu masuk campur dan mengeruhkan lagi keadaan, sebabnya sebagaimana yang orang lain tahu pasal aku, aku memang tidak pandai hendak memujuk orang. Jadi aku cuba berbual perlahan dengan kawan-kawan aku tentang oarang-orang yang tak berkeperimanusiaan.

☺ Bagi ahli-ahli kadet yang sepatutnya bertanggungjawab keatas air mata Sarjan, langsung tidak mempedulikan keadaan yang tegang pada masa itu. Apa yang mereka buat hanyalah ketawa terbahak-bahak, mengilai dan berbual rancak bersama-geng-gengnya dan beberapa ahli-ahli kadet lelaki. Kalau tak difikirkan yang aku hanya seorang junior dalam kadet polis dan pangkat mereka lebih tinggi daripada aku dan juga mereka adalah orang-orang yang lebih tua daripada aku, sudah lama aku bangun dan cabar ‘Kung Fu Showdown’..........dengan mereka.........Ha..yah...........’Come on baby’.........

☺ Seketika kemudian, Sarjan Aminah berjalan perlahan dan duduk bersila dihadapan kami. Kami semua terdiam dan suasana menjadi sunyi buat seketika. Aku, Shazuanis, Zayani, Zaleha dan Kak Zuhaili serta beberapa ahli kadet yang lain cuba berbuat perkara-perkara yang membuatkan kami kelihatan bodoh (pada pendapat aku) (corry...)(he.he..he..) untuk hiburkan seseorang yang kami sendiri tidak pasti siapa. Kami menyanyi dan cuba tersenyum dan ketawa. Tapi bagi aku, aku rasa lebih bosan pun ada. Tapi kuatlkanlah semangatmu wahai kekawan.....cayo’.....cayo’.....

☺ Seketika kemudian makanan pagi tiba, iaitu mee dan mihun goreng yang ‘down class’. Ada yang tak makan, emmm......mungkin kerana tak sanggup sebab kesian sangat kat mee yang rasanya amatlah memedihkan anak tekak.

☺ Sebelum makan Kak Hakimah telah ke tandas. Sebelum makan juga, kami dikehendaki membilang bilangan ahli, jika seorang ahli tidak mencukupi kami tak dibenarkan lagi menjamah makanan. Dalam keadaan yang tegang, mulut seseorang telah terlepas cakap sesuatu tentang Kak Hakimah dan ayat itu juga agak menyakitkan hati. Walaupun aku tahu dia tidak sengaja dan cuma mahu bergurau tapi nampaknya ayat yang diucapkan telah berada pada waktu yang salah. Aa..... yoo..... sebabnya kebetulan semasa ‘dia’ terlepas cakap itu, kemungkinan besar Kak Hakimah terdengar kerana semasa dalam barisan untuk mengambil makanan, Kak Hakimah yang bagi aku , aku dah menganggap dia sebagai seorang ibu pada aku sebabnya sikapnya yang begitu matang, telah menitiskan air mata. Dalam fikiran aku masa itu, hanyalah ayat ‘Ya Allah S.W.T apa yang telah terjadi kepada ahli platun aku ni...?’

☺ Tetapi dalam hal Kak Hakimah yang aku peliknya, kebanyakkan ahli-ahli kadet menyangkakan yang bahawasanya yang menyebabkan Kak Hakimah menitiskan air mata adalah ahli-ahli kadet yang sakit. Kesian diorang sebab difitnah. Aku pula amat kagumi Kak Hakimah sebabnya dia tak pernah mengadu pun apa-apa sepanjang perkhemahan dan dia juga seorang yang amat patuh pada arahan Sarjan walaupun Sarjan lebih muda satu tahun daripadanya. Takpelah... walaubagaimanapun, aku nak ucapkan cayo’..cayo’......... kepada Kak Hakimah.

☺ Lebih kurang jam 8.30 pagi kesemua kami bertolak ke tapak perkhemahan untuk mengemaskan barang-barang dan peralatan-peralatan serta meninggalkan tempat yang menggoreskan parut yang besar didalam memori ingatan dan kenangan kami ini sebagaimana keadaan asalnya. Kami bermuafakat dengan baik dan berjaya menyiapkan kerja kami lebih kurang jam 9.45 pagi. Sebelum menaiki trak untuk membawa alatan-alatan ini ke SKSC 2, kami memasak kesemua ikan sardin untuk dibuat sebagai jem dan akan dimakan bersama roti didalam trak nanti.

☺ 9.45 pagi, kami bertolak ke SKSC 2. Terkejut besar kami apabila mendapati kebanyakkan ahli-ahli platun sekolah lain telah pun berada dalam keadaan lengkap GD untuk majlis perasmian penutup. Kami kemudiannya diberi masa lima minit untuk mencari kasut dan menukar pakaian ke GD lengkap. Tidak ada sesiapa yang tahu betapa berdebarnya dan cemasnya hati kami pada waktu itu. Beg-beg pakaian ahli-ahli kadet yang sakit pula tiba-tiba aje dapat kami temui begitu juga dengan uniform GD mereka. Ajaib kan?.....

☺ Selesai menukar pakaian kami, dapatlah dilihat GD ‘lengkap’ kami. He.he..he....... ada yang kahwinkan kasutnya laa.... Ada yang hilang butang baju satu laa..... ada yang tunangkan bajulaaa... ada yang tak pakai stokin laa...... dan ada juga yang menambahkan aksesori tambahan di atas GD mereka , nak tahu apa tak? ......... he.he.......he... sudah tentulah tompokan-tompokan lumpur kering.......

☺ Walaupun pelbagai kesusahan yang kami alami tetapi kami pulang dengan bangganya. Kesemua pertandingan yang dijalankan kami mendapat tempat kedua kecuali didalam Pertandingan kawat induvidu yang mana Koperal Kadet Siti Rossemadira telah mendapat tempat pertama. ( dan bertuah baginya kemungkinan untuk naik pangkat daripada Koperal kepada SM atau SI adalah amat cerah ) dan bagi ahli platun lelaki sekolah kami pula pencapaian agak tidak memuaskan dengan hanya mendapat tempat yang ke empat secara keseluruhan. Hehehe.... kesian ( yang kelakarnya tentang majlis perasmian penutup ini ialah apabila kami dan kesemua ahli kadet platun dari sekolah lain diarahkan menyanyi lagu polis Sang Saka Biru dimana tidak ada satu pun diantara ahli didalam platun kami yang pandai nyanyi lagu ini.....hehehe..hancur!!! kami hanya menggerakkan bibir dan mengunyah angin)

☺ Bagi sekolah Sungai Pinang platun perempuan pula, kemenangan menunggu mereka dengan mendapat tempat pertama secara keseluruhan walaupun lebih kurang 10 orang daripada ahli kadetnya yang pengsan semasa berdiri didalam barisan untuk menunggu ucapan yang amat berhormat tamat. Tapi kegembiran tetap dikongsi bersama. Apabila keputusan kemenangan diumumkan, yang pengsan terus sedar dan siap melompat-lompat lagi.

☺ Lebih kurang jam 12.30 tengah hari majlis tamat. Tibalah masa untuk kesemua ahli kadet lelaki bergerak kesurau yang berdekatan untuk solah Jumaat secara berjemaah. Ada juga beberapa ahli kadet yang masih tinggal di SKSC 2 disebabkan keadaan yang tidak membenarkan. Sementara menunggu ahli-ahli kadet lelaki pulang daripada surau, kami mengemaskan dan memunggah barang-barang ke dalam trak. Sebelum bertolak pulang, ahli platun kami dipuji oleh pegawai-pegawai polis yang bahawasanya kami adalah ahli-ahli kadet yang amat mesra. Dan mungkin mereka akan merindui kehadiran kami....

☺ Lebih kurang pada pukul 2.30 petang kami bertolak pulang. Dalam perjalanan terlintas difikiran kami, SELAMAT TINGGAL CHIKU DUA, GUA MUSANG.................

☺ SMKCE memang tak pernah lenyap daripada masalah. Walaupun di atas trak masih ada masalah yang berlaku. Didalam trak gabungan yang memunggah ahli-ahli kadet lelaki telah berlaku satu (atau lebih) kontroversi yang amat menyakitkan hati kak Sarjan Aminah. Dalam perjalanan diatas trak ada Kak Sarjan Aminah menjerit supaya jaga sempadan antara lelaki dan perempuan semasa dalam trak. Sebabnya Kak Sarjan berada didalam trak barang dan mengankut hanya pelajar perempuan, jadi dia tidak dapat mengawal sepenuhnya keadaan didalam trak gabungan. SM SMKCE yang berada didalam trak gabungan pun hilang kawalan keatas ahli-ahli kadet malah mungkin juga dia tak larang tetapi lebih menggalakkan..... (Emm, agak jew...)

☺ Tetapi apa yang boleh dibuat ialah, suka hati dioranglah, kami dah nasihat yang selebihnya bergantung kepada akal fikiran mereka untuk fikirkannya.

☺ Kami tiba di perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat pada pukul 6.15 petang. Ahh......... SELAMAT PULANG AHLI KADET POLIS SMKCE. Sejurus turun daripada trak, Sarjan bergaduh dengan SM tentang kontroversi yang berlaku didalam trak gabungan. Sebelum pulang kami dikehendaki berkumpul dalam barisan untuk mendengar sepatah dua kata daripada guru Kadet Polis lelaki, En. Adnan.

☺ Selesai ucapan berpecahlah kami mengikut haluan-haluan masing-masing untuk pulang ke rumah kesayangan. Pengalaman dalam perkhemahan kali ini yang kami dapat amatlah bernilai dan telah juga mengajar kami banyak perkara dalam mensyukuri pemberianNya.......

☺ Akhir kata daripada aku, Kenangan akan tetap tinggal kenangan.............

☺ Terima kasih kepada Chiku 2, Gua Musang kerana mengajar aku erti perkhemahan yang sebenar.......




•.¸¸.•´¯`•.♥TAMAT♥.•´¯`•.¸¸.•.




Hasil Nukilan :
(Konstable Kadet Siti Nurfatihah Binti Mohd Nasir)
( 2006 – 14 Tahun, Tingkatan 2 Arif)

( Catatan ini adalah original daripada ingatan aku ketika aku berusia 14 tahun dulu. Di'post'kan disini tanpa aku edit sedikit pun dari yang asli. Kesalahan bahasa, susun kata, ganti nama, grammar, kata sendi, penanda wacana dan sbg Harap Dimaafkan... Assalamualaikum... )


.

No comments:

Post a Comment